Palestin di Hatiku

Palestine Centre of Excellence

Hidayah Centre

Raudhatus Sakinah

Musleh

Siapa di Sini

We have 5 guests online

Statistik

Content View Hits : 542919
Aktivis Dakwah Adalah Aset Bernilai PDF Print E-mail
Written by Admin-Sel   
Tuesday, 27 July 2010 05:14

Dalam Gerakan Islam, aset utamanya BUKANLAH :

1. Harta.
2. Bangunan-bangunan yang dimiliki.
3. Pos-pos atau jawatan strategik yang dipegang.

Tetapi yang menjadi aset utama gerakan adalah pekerja atau aktivis dakwah itu sendiri. Seorang aktivis dakwah tidak dapat dibandingkan dengan sekian banyak dana yang dimiliki kerana usaha untuk menyedarkan seseorang hingga mendapatkan hidayah adalah pekerjaan yang amat besar yang tidak boleh ditukar ganti dengan apa-apa bentuk nilai material atau kebendaan sekalipun.

Rasulullah saw sendiri telah memberikan khabar kepada kita betapa besarnya "nilai" hidayah itu sehingga seorang sahaja yang berhasil ditarik melalui dakwah, maka itu lebih baik dari unta merah sebagaimana sabda Rasulullah saw :

"Demi Allah, sungguh Allah memberi hidayah kepada seorang laki-laki melalui tanganmu adalah lebih baik bagimu daripada unta merah.” (HR Bukhari dan Muslim)

Unta merah adalah harta orang Arab yang paling mahal ketika itu sementara dalam hadits yang lain disebutkan "lebih baik dari dunia dan seisinya."

Kesedaran Betapa Kita Adalah Aset Utama Dakwah

Hakikat besar ini perlu disedari oleh semua aktivis dakwah bahwa dirinya adalah aset utama jamaah. Kesedaran ini dengan sendirinya akan mengarahkan seorang aktivis untuk bersungguh-sungguh menempa dirinya menjadi yang terbaik kerana kemajuan dakwah akan dipengaruhi oleh kemajuan aktivis-aktivis seperti dirinya. Ini disebabkan masa depan dan pencapaian dakwah akan berkadar lurus dengan kualitinya.

Menempa diri menjadi aktivis-aktivis pilihan merupakan suatu kemestian dan pekerjaan besar ini bukanlah semata-mata tanggungjawab struktur gerakan semata-mata, melainkan juga tanggungjawab peribadi aktivis masing-masing.

Itulah sebabnya ada istilah tarbiyah zatiyah yang mesti secara serius dilaksanakan oleh aktivis dakwah. Menjadi soleh dan solehah adalah kemestian bagi setiap muslim lebih-lebih lagi mereka yang mengaku sebagai aktivis dakwah. Jika aktivis dakwah bukan seorang ahli kebaikan, adalah suatu yang mustahil untuk merubah masyarakat menuju keadaan yang lebih baik.

Ada sebuah ungkapan yang menarik :

`Jika tidak memiliki apa-apa, niscaya tidak akan mampu memberikan sumbangan apapun pada orang lain'.

Begitupun, jika seorang aktivis dakwah hanya mengajak tanpa ada qudwah dari dalam dirinya, maka dakwahnya hanya menyentuh unsur ilmu semata-mata, padahal unsur hati / iman adalah unsur yang terpenting dalam dakwah.

Ingatlah akan firman Allah swt :

"Wahai orang-orang yang beriman, mengapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan." (As Shaff : 2-3)

Untuk menuju peribadi yang soleh, perlu dilaksanakan tarbiyah zatiah yang akan memotivasi ruh kita untuk sentiasa melakukan perbaikan-perbaikan ke atas diri kita sendiri.

Tarbiyah zatiyah dan tarbiyah jamaah adalah ibarat dua sisi mata wang yang tidak dapat dipisahkan, apalagi mengingatkan akan keterbatasan manusia sebagai makhluk yang sangat lemah dan mudah lalai.

Adanya tarbiyah jamaah berupa liqa' / halaqah adalah "back-up" tarbiyah yang akan memacu komitmen tarbiyah zatiyah.

Begitu juga sebaliknya iaitu :

Tarbiyah jamaah tidak akan terwujud jika seorang aktivis dakwah tidak memiliki keinginan untuk mempertingkatkan ketaqwaannya melalui tarbiyah zatiyah.

Persoalannya sekarang adalah mengapa para aktivis dakwah mesti meningkatkan komitmen tarbiyahnya?

Di dalam fiqh dakwah, ada beberapa kaidah dakwah yang mesti difahami oleh setiap aktivis dakwah di antaranya ialah :


1. "Al-qudwah qabla dakwah" (menjadi contoh sebelum berdakwah).
2. "At-ta'lif qabla ta'rif" (mengikat hati sebelum memperkenalkan).
3. "At-ta'rif qabla taklif (memperkenalkan sebelum memberikan tugas pengamalan).
4. "At-tadarruj fit-taklif" (bertahap dalam memberikan tugas-tugas).
5. "At-taisir lat-ta'sir" (memudahkan bukan menyukarkan).
6. "Al-ushul qablal-furu'" (yang pokok sebelum yang cabang).
7. "At-targhib qabla-tarhib" (memberi harapan sebelum memberi ancaman).
8. "At-tafhim la-talqin" (memberikan pemahaman bukan mengarah).
9. "At-tarbiyah lat-ta'riyah" (mendidik bukan membuka pekung).
10. "Tilmidzu imam la tilmidzu kitab" (muridnya imam bukan muridnya buku)


Untuk memahami kaidah-kaidah tersebut, maka seseorang aktivis dakwah mesti menuntut ilmu tentangnya serta berusaha untuk melaksanakan perkara-perkara yang sudah difahami tentangnya, kerana manhaj jamaah yang benar adalah Manhaj Al-Amal.

Kemampuan diri untuk :

1. Menjadi qudwah.
2. Mengikat hati.
3. Mengurus dakwah.
4. Menguasai ilmu syariat.

Memerlukan banyak unsur-unsur tambahan yang khusus seperti :

1. Diskusi.

2. Seminar.

3. Nasihat.

4. Buku-buku.

Namun ternyata dari semua itu, ada yang lebih penting, iaitu tenaga sokongan intensif yang dinamik dalam kerangka ukhuwah Islamiyah untuk membangunkan dakwah dan tarbiyah dan itu semua hanya boleh kita dapatkan dari seorang `murabbi'.

Maka seorang aktivis dakwah atau `murabbi' pada masa yang sama, ia juga mesti menjadi seorang `mutarabbi' aktif tarbiyah dalam tingkatannya masing-masing. Inilah kunci tarbiyah zatiyah dan tarbiyah jamaah yang sebenarnya. Satu perkara lagi yang mesti kita fahami, selain kewajiban syariat, dakwah merupakan keperluan asas manusia secara sejagat.

Maknanya, manusia, walau di manapun ia berada, ia tidak akan mampu hidup dengan baik tanpa dakwah. Dakwahlah yang akan menuntun manusia kepada kebaikan sedangkan menjadi ahli kebaikan adalah keperluan asas setiap orang. Maka, jangan pernah terdetik di fikiran kita sedikitpun untuk menjauhi dari dakwah dengan alasan apapun.

Justeru, ketika kita merasa kesukaran untuk menjadi baik, maka dakwah inilah yang akan membantu kita untuk memotivasikan diri kita menjadi individu yang lebih baik. Semakin kita memahami hakikat Islam, semakin besar pula keperluan kita terhadap dakwah.

Di dalam Al Qur'an, aktivis dakwah diberi gelaran "rabbani" kerana memang sesungguhnya mereka sentiasa mendambakan pembaikan kualiti yang semestinya menjadi agenda utama aktivis dakwah sebagai aset utama gerakan.

"Tidak wajar bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Al Kitab hikmah dan kenabian, lalu dia berkata kepada manusia: "Hendaklah kamu menjadi penyembah-penyembahku, bukan penyembah Allah." Akan tetapi, (dia berkata) "Hendaklah kamu menjadi orang-orang rabbani, kerana kamu selalu mengajarkan Al Kitab dan disebabkan kamu tetap mempelajarinya." (Ali Imran : 79)

Terkait dengan makna "rabbani" ini, Imam Ibnu Jarir Ath-Thabari yang lebih dikenali dengan sebutan Imamul Mufassirin mengatakan bahwa "rabbani" adalah seseorang yang memenuhi beberapa kelayakan sebagai berikut :


1. "Faqih", dalam ertikata memahami Islam dengan sangat baik.
2. "'Alim", dalam ertikata memiliki ilmu pengetahuan.
3. "Bashir bi as-siyasah", dalam ertikata celik politik.
4. "Bashir bi at-tadbir", dalam ertikata celik pengurusan.
5. "Qaim bi syu'uni ar-ra'iyah bimaa yuslihuhum fi dunyaahum wa diinihim", iaitu melaksanakan segala urusan rakyat yang mendatangkan kemaslahatan mereka, baik dalam urusan dunia mahupun agama.


Dari sudut pandang dakwah, hamba yang "rabbani" akan membentuk :

1. 1."Keperibadian Pendakwah" yang pada akhirnya mampu menjadi `murabbi' dan beramal jama'ie, lalu bersama-sama dengan aktivis yang lain melakukan aktiviti yang tersusun rapi. Ia terus aktif dan bergerak dalam sebuah barisan yang kukuh serta berkorban di tengah masyarakatnya. Secara sosial, hamba yang "rabbani" membentuk :

2. "Keperibadian Kemasyarakatan" yang memiliki :

a. Keahlian.

b. Kepedulian.

c. Ketokohan dalam masyarakat.

Ia menjadi rujukan dalam mencari penyelesaian setiap masaalah di tengah-tengah masyarakat. Akhirnya, hamba yang "rabbani" pun dapat mengarahkan masyarakat pada pengamalan Islam yang seutuhnya. Seterusnya, sampailah hamba yang "rabbani" menjadi :

3. "Keperibadian Kenegaraan" yang :

a. Memiliki wawasan global.

b. Menjadi pelopor perubahan.

c. Menjadi negarawan.

Dalam konteks kenegaraan, aktivis dakwah yang telah menjadi hamba "rabbani" akan menjadi ahli politik yang unik dan khas dalam dunia politik. Ia bergaul dengan ahli politik yang lain, namun memiliki keistimewaan dibandingkan dengan mereka.

Ada visi dan misi yang dipikulnya untuk menjadi landasan gerakannya. Ia menjadi orang yang kuat dalam memikul visi dan misi tarbiyahnya.

Tarbiyah Pembinaan Dan Pendidikan Sepanjang Hayat

Oleh kerana aktivis dakwah adalah aset utama gerakan, maka ia mesti dijaga sebaik-baiknya. Jangan sampai ada :


1. Kerosakan.
2. Penurunan nilai.
3. Kelemahan.
4. Pengangguran.


Sebaliknya, seiring dengan berlalunya waktu dan besarnya tugas dakwah, aktivis dakwah sebagai aset utama gerakan mesti menjadi semakin :


* Tinggi nilainya.
* Dinamik.
* Berkualiti.


Maka, tidak ada cara lain kecuali melaksanakan usaha-usaha pembinaan dan pendidikan sepanjang hayat. Tarbiyah merupakan pintu gerbang bagi tegaknya aspek kekuatan umat Islam. Ia merupakan aspek pokok yang menjadi akar bagi aspek-aspek yang lain, samada kekuatan ekonomi, politik, undang-undang, sosial ataupun ketenteraan.

Allah swt telah memerintahkan kepada umat Islam agar menyediakan berbagai kekuatan secara maksima melalui firmannya :

"Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa sahaja yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggetarkan musuh Allah, dan musuh kamu, serta orang-orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Apa sahaja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah niscaya akan dibalas dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya (dirugikan)". (Al-Anfal : 60)

Perkataan "min quwwatin" pada ayat di atas berbentuk `isim nakirah', ertinya ayat tersebut mengandungi perintah yang besar dan menyeluruh. Seluruh kekuatan wajib dipersiapkan oleh umat Islam samada dalam sektor ekonomi, pendidikan, sosial, ruhiyah, jasadiyah dan lain-lain.

Adapun tarbiyah adalah penyokong seluruh kekuatan yang mesti disediakan oleh umat Islam. Dari tarbiyah inilah, ruh dakwah yang syumul akan tumbuh berkembang menjadi peribadi muslim yang komited dengan Islam dan bergerak bersama Islam. Selain itu, ia juga akan tumbuh menjadi peribadi ikutan atau contoh di tengah-tengah masyarakatnya dengan keteladanan dan sumbangan yang positif.

Ungkapan-Ungkapan Yang Memberi Semangat Kepada Proses Tarbiyah

Imam Syafi'i mengingatkan :

"Siapa yang tidak belajar (ta'lim) pada masa mudanya maka takbirkanlah empat kali untuk kematiannya. Demi Allah, yang namanya pemuda adalah yang berilmu dan bertaqwa. Jika tidak ada keduanya maka jangan anggap dia itu ada".

Dalam risalah "Adakah Kita Golongan Yang Bekerja", Imam Hasan Al-Banna mengatakan :

"Sesungguhnya tujuan pertama gerakan dakwah adalah mentarbiyah jiwa, memperbaharui ruh dan mengukuhkan akhlak serta menumbuhkan peranan pentingnya di tengah-tengah umat. Mereka meyakini bahwa itu adalah asas pertama yang mesti dibangun untuk kebangkitan umat dan bangsa".

Manakala Syeikh Yusuf Al Qardhawi pula mengungkapkan :

"Adapun tarbiyah adalah perkara terpenting dan utama dalam gerakan dakwah, kerana tarbiyah adalah asas perubahan, dan gelombang kebaikan serta perbaikan. Jika tidak ada maka kehidupan yang bercirikan Islam atau merealisasikan undang-undang Islam hanyalah menjadi mimpi".

Ustaz Mustafa Masyhur pula mengatakan :

"Peribadi muslim adalah tiang bagi keluarga, masyarakat dan negaranya. Jika tarbiyahnya kuat maka kuat pula bangunan tersebut".

Semoga ungkapan-ungkapan tersebut menjadi ruh kekuatan bagi kita untuk mempertingkatkan lagi tarbiyah setelah menyedari bahwa kita sebagai aktivis dakwah adalah aset utama gerakan.

Ya Allah, berilah kekuatan kepada kami untuk kami tetap berjalan di atas jalan dakwah ini sehingga ke akhir hayat kami. Kami memahami bahwa dakwah sepatutnya menjadi tugas dan tanggungjawab setiap aktivis dakwah tanpa mengira latarbelakang dan profesyen sebenar dalam kehidupan seseorang itu kerana inilah tugas yang paling mulia yang diamanahkan oleh Engkau sebagaimana yang telah dipikul oleh para Rasul terdahulu. Bantulah kami untuk menjadi aset yang paling bernilai dalam gerakan dakwah yang menyeru manusia untuk tunduk dan menghamba-abdikan diri hanya kepadaMu.

Ameen Ya Rabbal Alameen
Wan Ahmad Sanadi Wan Ali (WAS)
Shah Alam

 

Last Updated on Wednesday, 12 January 2011 16:39
 
Design by Next Level Design Lizenztyp CC - Template is powered by ENERGIEWERK