Palestin di Hatiku

Palestine Centre of Excellence

Hidayah Centre

Raudhatus Sakinah

Musleh

Siapa di Sini

We have 3 guests online

Statistik

Content View Hits : 530015
Mengenali Peribadi Rasulullah SAW PDF Print E-mail
Written by shahrin   
Monday, 14 February 2011 18:05

Bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini, marilah kita meneliti sedikit sebanyak hadith-hadith yang berkaitan dengan diri peribadi Nabi Muhammad saw, semoga ianya bermanfaat untuk kita mengenali dengan lebih dekat dan seterusnya menjadikan baginda sebagai contoh tauladan dan ikutan kita sepanjang zaman hingga ke hari Kiamat.

CIRI-CIRI FIZIKAL RASULULLAH SAW

Hasan Bin Ali meriwayatkan :
"Saya pernah bertanya kepada bapa saudara saya, Hindun Ibnu Abi Halah (yang sangat pandai
menggambarkan sesuatu) tentang ciri-ciri fizikal Rasulullah saw. Saya menginginkan agar ia menggambarkan sifat-sifat baginda yang mirip dengan sifat-sifat saya.

Hindun menjawab,
"Tubuh Rasulullah saw besar. Wajah beliau bersinar seperti bulan purnama. Bentuk tubuh beliau lebih tinggi daripada ukuran tubuh yang biasa serta lebih pendek daripada ukuran tubuh orang yang jangkung dan kerempeng.

Kepala beliau besar dan rambut beliau ikal. Apabila rambut beliau mulai memanjang, maka beliaupun menyisirnya. Jika tidak (disisir), maka rambut beliau ketika terurai, tidak pernah melebihi bahagian bawah daun telinga beliau.

Kulit beliau cerah, putih kemerah-merahan. Dahi beliau lebar, bulu mata beliau melengkung dan panjang; kedua bulu matanya hamper bersambung. Di antara kedua bulu mata tersebut, terdapat urat yang timbul ketika beliau marah.

Beliau memiliki hidung yang mancung dengan bahagian atas yang bercahaya sehingga orang yang tidak memerhatikan dengan cermat akan mengira bahwa hidung beliau bengkok.

Janggut beliau lebat dan kedua pipi beliau datar. Mulut beliau lebar, antara gigi dan gigi beliau yang lain berjarak, dada beliau berbulu halus. Leher beliau jenjang dan indah.

Bentuk tubuh beliau bagus dan gemuk yang ideal. Perut beliau sama rata dengan dada. Dada beliau lebar. Tubuh antara dua bahu beliau juga lebar. Persendian tubuh beliau besar, sementara bahagian tubuh yang tidak berbulu nampak bercahaya. Di antara bahagian dada dan pusat beliau, terdapat bulu nipis yg nampak seperti garisan. Tetapi, kedua puting susu dan perut beliau tidak berbulu.

Tangan, bahu dan dada bahagian atas beliau berbulu nipis. Tangan beliau panjang, tapak tangan dan tapak kaki beliau tebal dan jari jemari beliau panjang. Di tengah-tengah tapak kaki beliau tidak menyentuh tanah. Kedua tapak kaki beliau halus sehingga airpun tidak melekat – air yang mengenainya langsung akan hilang, tanpa meninggalkan bekas.

Ketika berjalan, tubuh beliau bergoyang. Beliau berjalan dengan tenang dan dengan langkah yang lebar. Ketika beliau berjalan seakan-akan beliau sedang menuruni tanah yg landai.

Ketika menoleh, beliau menoleh (berbalik) dengan seluruh badan beliau. Beliau sering menundukkan pandangan – beliau lebih sering memandangke bawah daripada mendongak ke atas.

Beliau selalu melihat sesuatu dengan penuh perhatian. Ketika berjalan bersama para sahabat, beliau selalu membiarkan mereka berjalan di depan, dan setiap kali bertemu dengan seseorang, beliau selalu mengucapkan salam terlebih dahulu." (HR Tirmizi, Ibnu Sa'ad, Baihaqi dan Ibnu Adi)

TANDA KENABIAN RASULULLAH SAW

Jabir Bin Samurah ra meriwayatkan :

"Saya melihat tanda kenabian di antara kedua bahu Rasulullah saw iaitu daging berwarna merah sebesar telur burung merpati." (HR Tirmizi, Muslim dan Ahmad)

KERAPIAN RAMBUT RASULULLAH SAW

Abdullah Bin Mughaffal meriwayatkan :

"Rasulullah saw melarang kami untuk merapikan rambut dgn berlebihan, kecuali hanya sesekali." (HR Tirmizi, Abu Daud, Nasa'i dan Ahmad)

UBAN RASULULLAH SAW

Anas Bin Malik meriwayatkan :

"Saya hanya dapat menemukan empat belas uban di rambut dan janggut Rasulullah saw (HR Tirmizi dan Ahmad)

Ibnu Abbas meriwayatkan :

"Abu Bakar berkata kepada Rasulullah saw,

'Wahai Rasulullah, anda telah beruban.' Maka beliau berkata dengan bersabda, 'Yang membuatku beruban adalah surah Hud, Al Waqiah, Al Mursalaat, An Naba' dan At Takwir." (HR Tirmizi, Ibnu Saad dan Hakim)

RASULULLAH SAW BERCELAK

Jabir Bin Abdulllah meriwayatkan bahwa Rasulullah saw bersabda :

"Hendaklah kamu (memakai celak) dengan menggunakan batu celak (al – itsmid) ketika hendak tidur, sebab hal itu dapat memperjelas penglihatan dan menumbuhkan bulu (mata)." (HR Tirmizi dan Ibnu Adi)

PAKAIAN RASULULLAH SAW

Ummu Salamah meriwayatkan :

"Pakaian yang paling disukai oleh Rasulullah saw adalah pakaian gamis." (HR Tirmizi dan Abu Dawud)

BENTUK SELIPAR RASULULLAH SAW

Qatadah meriwayatkan :

"Saya bertanya kpd Anas Bin Malik, 'Bagaimana bentuk selipar Rasulullah saw.? 'Anas Bin Malik menjawab, 'Sepasang selipar beliau menggunakan dua buah Qibal." (HR Tirmizi, Bukhari, Abu Dawud, Ibnu Majah dan Ahmad)

Qibal adalah pelana selipar, iaitu batas depan selipar berupa tali yg diletakkan di antara dua jari kaki.

SERBAN RASULULLAH SAW

Ibnu Umar meriwayatkan :

"Ketika Rasulullah S.A.W. mengenakan serban, beliau menghulurkan serban itu di antara kedua bahu beliau." (HR Tirmizi dan Abu Syaikh)

BATASAN MEMAKAI KAIN SARUNG SEPERTI RASULULLAH SAW

Huzaifah Bin Al Yaman meriwayatkan :

"Rasulullah saw memegang urat betisku atau betis beliau, lalu berkata, 'Inilah batas engkau mengenakan kain sarungmu. Jika engkau enggan (menggunakan kain sarung sebatas betis), maka janganlah kain sarung itu sampai menutupi kedua mata kakimu!'" (HR Tirmizi, Ibnu Majah, Nasa'i dan Ahmad)

CARA RASULULLAH SAW BARING

Abdullah Bin Zaid meriwayatkan :

"Ia (Abdullah) melihat Rasulullah saw tidur terlentang di dalam masjid dan meletakkan salah satu kaki beliau di atas kaki yg lain." (HR Tirmizi, Bukhari dan Muslim)

CARA RASULULLAH SAW MAKAN

Ka'ab Bin Malik meriwayatkan :

"Rasulullah S.A.W. makan dengan menggunakan ketiga jari beliau. Selesai makan, beliau menjilat ketiga-tiganya." (HR Tirmizi, Muslim, Abu Dawud dan Ahmad)

GELAS MINUM RASULULLAH SAW

Tsabit meriwayatkan :

"Anas Bin Malik mengeluarkan sebuah gelas yang terbuat dari kayu keras dan dilapisi besi seraya berkata, ` Wahai Tsabit, ini adalah gelas Rasulullah S.A.W." (HR Tirmizi, Bukhari dan
Ahmad)

CARA RASULULLAH SAW MINUM

Abdullah Bin Amr Ibnul Ash meriwayatkan :

"Saya terkadang melihat Rasulullah minum dalam keadaan berdiri dan terkadang dalam keadaan
duduk." (HR Tirmizi dan Ahmad)

Anas Bin Malik meriwayatkan : "Rasulullah saw menarik nafas (menjeda) tiga kali saat minum dari sebuah wadah. Beliau bersabda, `Hal ini lebih menyehatkan dan memuaskan." (HR Tirmizi,
Muslim, Abu Dawud, Nasa'i dan Ahmad)

RASULULLAH SAW SENTIASA MENGGUNAKAN MINYAK WANGI

Anas Bin Malik meriwayatkan :

"Rasulullah saw memiliki sebotol minyak wangi yang dengannya beliau mengharumkan diri." (HR Tirmizi, Abu Dawud dan Ibnu Sa'ad)

CARA RASULULLAH SAW BERBICARA

Hasan Bin Ali meriwayatkan :

"Saya pernah bertanya kepada bapa saudaraku, Hindun bin Abu Halah yang sangat pandai menggambarkan sesuatu. Saya katakan kpdnya, `gambarkanlah kepadaku bagaimana cara
Rasulullah saw berbicara!'

Ia berkata,

`Rasulullah adalah seorang yamg nampak selalu prihatin dan sentiasa berfikir. Beliau lebih banyak diam dan berbicara hanya seperlunya. Beliau memulai dan mengakhiri pembicaraan beliau dengan menyebut nama Allah. Ucapan beliau selalu padat, terperinci dan jelas, tidak lebih dan tidak kurang, tidak kasar dan tidak merendahkan.

Beliau selalu mensyukuri nikmat walaupun sedikit dan sama sekali tidak pernah mencelanya. Beliau tidak pernah mencela dan memuji makanan. Urusan dunia beserta isinya tidak pernah membuatkan beliau marah. Jika kebenaran dilanggar, beliau tidak akan diam hingga kebenaran itu ditegakkan. Beliau juga tidak pernah marah dan tidak pula memperjuangkan kepentingan peribadi.

Ketika menunjuk sesuatu, beliau selalu menggunakan seluruh tangannya. Dalam keadaan ta'jub atau terkejut, beliau selalu membalik (tapak tangannya). Ketika berbicara terbiasa menggunakan
tangan untuk memperjelas perkataan dengan cara memukul-mukul tapak tangan kanan ke tapak jempol kiri.

Ketika marah, beliau berbalik dan berpaling. Ketika senang, beliau menundukkan pandangan. Ketawa beliau adalah senyuman dan gigi beliau nampak seperti butiran salji." (HR Tirmizi)

CARA RASULULLAH SAW BERGURAU

Hasan Al Bashri meriwayatkan :

"Seorang perempuan yg sudah tua mendatangi Rasulullah saw seraya berkata, `Wahai Rasulullah, doakanlah agar saya boleh masuk syurga.'

Beliau menjawab,

`Wahai Ummu Fulan! Syurga tidak dihuni oleh perempuan yg sudah tua.'

Mendengar hal itu, perempuan itu segera bergegas sambil menangis. Maka Rasulullah berkata,

`Beritahukan kepada perempuan itu bahwa ia tidak akan masuk syurga dalam keadaan tua.

Allah swt berfirman, `Kami menciptakan mereka (bidadari-bidadari itu) secara langsung; lalu kami jadikan mereka perawan-perawan yang penuh cinta (dan) sebaya umurnya.' (QS Al Waqiah 35 -37)" (HR Tirmizi dan Thabrani)

CARA RASULULLAH SAW TIDUR

Aisyah meriwayatkan :

"Setiap kali hendak tidur pada malam hari, Rasulullah saw selalu menyatukan kedua tapak tangan beliau seraya membaca surah Al Ikhlas, Al Falaq dan An Nas, kemudian beliau meniup
kedua tapak tangan beliau. Setelah itu, dengan kedua tapak tangan itu, beliau mengusap bahagian tubuh yang terjangkau, dimulai dari kepala, wajah, sehingga bahagian depan tubuh beliau. Hal itu beliau lakukan tiga kali." (HR Tirmizi, Bukhari, Abu Dawud, Ibnu Majah, Ahmad dan Nasa'i)

TEMPAT TIDUR RASULULLAH SAW

Aisyah meriwayatkan :

"Sungguh, tempat tidur Rasulullah saw terbuat dari kulit binatang yang dijejali sabut." (HR Tirmizi, Bukhari, Muslim, Abu Dawud, Ibnu Majah dan Ahmad)

AKHLAK RASULULLAH SAW

Aisyah meriwayatkan :

"Saya sama sekali tidak pernah melihat Rasulullah saw berusaha untuk membalas kezaliman yang beliau terima, selama hal itu tidak menyebabkan larangan Allah dilanggar. Jika larangan Allah dilanggar, maka beliaulah yang paling keras mengungkapkan kemarahan. Jika beliau dihadapkan kepada dua pilihan, maka beliau akan memilih yang paling mudah selama (hal yg lebih mudah itu) tidak menyebabkan dosa." (HR Tirmizi, Bukhari, Muslim, Abu Dawud dan Ahmad)

KEHIDUPAN RASULULLAH SAW

Aisyah meriwayatkan :

"Kami, keluarga Muhammad, pernah tidak menyalakan api (memasak makanan) selama sebulan penuh. Kami hanya makan kurma dan air." (HR Tirmizi, Ahmad, Ibnu Sa'ad dan Ibnu Hibban)

KEWAFATAN RASULULLAH SAW

Qasim Bin Muhammad meriwayatkan bahwa Aisyah berkata :

"Saya melihat Rasulullah saw pada hari kewafatan beliau. Di sisi beliau, terdapat sebuah bejana yang berisi air. Beliau memasukkan tangan ke bejana itu, kemudian mengusap wajah dengan air, lalu berdoa, 'Ya Allah, bantulah aku mengatasi sakratulmaut." (HR Tirmizi, Ibnu Majah, Ahmad
dan Ibnu Sa'ad)

WARISAN RASULULLAH SAW

Amr Bin Harith meriwayatkan :

"Rasulullah S.A.W. tidak meninggalkan sesuatu sebagai harta warisan selain sebilah pedang, seekor baghal dan sebidang tanah yang dijadikan sedekah." (HR Tirmizi, Ibnu Sa'ad dan Ahmad)

BERMIMPI MELIHAT RASULULLAH SAW

Abu Hurairah meriwayatkan bahwa Rasulullah saw bersabda :

"Barangsiapa melihatku di dalam mimpi, maka ia benar-benar telah melihat diriku kerana syaithan tidak dapat menyerupaiku." (HR Tirmizi, Bukhari, Muslim, Abu Dawud, Ibnu Majah
dan Ahmad)

Ya Allah, tempatkanlah Nabi Muhammad saw di tempat yang tinggi di SyurgaMu di samping mendapat kelebihanMu. Angkatkanlah baginda ke makam yang terpuji yang telah Engkau janjikan. Kurniakanlah Syafaat NabiMu kepada kami di akhirat nanti dan kami juga mengharapkan untuk dapat minum di Telaga Al Kauthar yang diberikan kepada hambaMu yang mulia Muhammad Al Mustofa saw.

Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS

 

Last Updated on Monday, 14 February 2011 18:07
 
Design by Next Level Design Lizenztyp CC - Template is powered by ENERGIEWERK